Kenapa Ada Cinta dan Benci?

Kenapa ada cinta dan benci?
Kemusykilan ini kerap menari-nari
di putih batu jembala ini.
Kerap juga terpandang mata
benci lalat pada wanginya bunga
jarang sekali…
dihinggap pada merah kelopaknya
apatah lagi…
dihirup sakar madu di perdunya.
Di kotoran dan aroma yang di benci
itulah yang paling dia cintai
dihurungnya sepanjang hari
berpesta ria tak terperi.
Acap kali mata tercari-cari
kawanan rerama di tengah kota
bersama hiruk pikuk deruan kereta
hampir tak pernah dijumpa
mungkin bencinya rerama
pada deru debu kotor udara.
Mereka lebih mencintai desa
kerana lebih nyaman di sana
untuk terbang menari-nari
antara bunga dan duri
sambil menghidu aroma mewangi.
Atau hinggap di batu-batu
di antara aliran jeram
disapa gemersik bayu
bak bidadari sedia bersiram
bergurau senda menari-nari
di ritma sayap rona pelangi.
Di sana
aku jumpa jawapan
cinta dan benci
adalah cetusan fitri
ketetapan Yang Maha Suci.
Tiada salah padanya
jika lahir dari pemikiran teliti
terpancar dari akidah murni
tak berbaur emosi.
Cinta dan benci
pabila berbenturan
membenihkan perjuangan
membuahkan peradaban.
Cinta dan benci
penentu darjat insan
di hadapan Tuhan
di padang peradilan
di seluruh mata anak Adam memandang.
Apakah terbang tinggi ke bintang kejora
ataukah jatuh terbenam ke lubuk nista?
sumber : http://fikru1mustanir.wordpress.com
Currently have 0 komentar: